GUA MUSANG – Seorang wanita dicekup selepas didapati menyimpan sebanyak 430 liter minyak diesel di dalam tiga buah tong tanpa dokumen sah di premisnya di Kampung Batu Papan, di sini semalam.
Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi semasa menjalankan Op Tiris.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Gua Musang, Mohd. Koma Shapii berkata, pemilik premis tersebut merupakan pembeli getah wanita yang berusia lingkungan 30-an.
“Hasil siasatan mendapati, pemilik premis membeli diesel di stesen minyak sekitar bandar Gua Musang secara berulang dan mengumpulnya dalam bekas untuk kegunaan jentera persendirian.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,032,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE