SHAH ALAM – Hanya 16 peratus sahaja bekalan air mampu disalurkan sekiranya krisis bekalan air secara besar-besaran berulang lagi di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, ini berikutan kerajaan negeri perlu mengambil kira pelbagai kos selain turut mengakui jumlah peratusan itu sangat rendah.
“Kita dengan kemampuan yang ada hanya boleh membekalkan air dalam sejumlah itu sahaja dalam keadaan kecemasan seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Ini semua selepas mengambil kira segala fasiliti seperti kos sewa dan bantuan lori tanker dari negeri-negeri lain untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Lai Wai Chong di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, Wai Chong ingin mengetahui langkah-langkah kerajaan negeri ketika berhadapan krisis bekalan air di Selangor seperti yang berlaku baru-baru ini.
Izham yang merupakan ADUN Pandan Indah berkata, krisis bekalan air yang berlaku telah melibatkan Sungai Selangor sehingga menjejaskan lebih 60 peratus bekalan air kepada Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Ramai mengeluh kata air belum dapat dan satu perkara perlu difahami adalah apabila berlakunya krisis air yang besar di satu-satu kawasan, lori tangki bertanggungjawab untuk menghantar bekalan air ke kawasan terjejas.
“Lori tangki itu kena keluar kawasan untuk mengambil air, berdepan kesesakan jalan raya selain
proses ulang alik itu mengambil masa yang agak lama sekurang-kurangnya empat hingga ke lima jam,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) agar menyemak pili-pili awam yang sedia ada sebagai langkah persediaan pada masa depan.
“Pada masa sama, kita juga akan mengaktifkan kolam-kolam takungan sementara yang sedia ada. Setakat ini terdapat sekitar 100 kolam dan ia dalam proses untuk diaktifkan.
“Kolam tersebut dapat menampung bekalan air sekurang-kurangnya untuk tempoh dua hingga tiga hari sekiranya krisis bekalan air berlaku lagi,” katanya. – K!ONLINE