PETALING JAYA – Selepas tiga tahun tertangguh, Tomok, Akim, Hazama dan Black membuat laporan polis berhubung status penangguhan Konsert 4G’s yang masih belum tiada perkembangan sehingga ke hari ini.
Tindakan yang dilakukan bagi melindungi diri mereka itu dibuat selepas ramai bertanyakan sama ada konsert itu ditangguh atau dibatalkan berikutan tiket sudah dijual kepada umum.
Tomok mewakili tiga lagi rakan seperjuangannya menggesa penganjur menyelesaikan isu tersebut dengan segera bagi mengelakkan sebarang salah faham.
“Ramai yang bertanya tentang status Konsert 4G’s, sama ada jadi atau tak jadi. Kami pun tiada jawapan sebenarnya.
“Kami ambil keputusan untuk buat laporan polis berkenaan hal ini sebab ramai yang sudah dapatkan tiket.
“Jika konsert ini tak dijalankan, pihak penganjur harus pulangkan kembali duit pembeli. Kami harap pihak penganjur dapat selesaikan hal ini secepat mungkin,” katanya menerusi Instagram.
Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 39, mendedahkan perkara berkenaan dalam satu video yang menunjukkan mereka berada di hadapan Balai Polis Damansara, di sini.
Pada masa sama, penyanyi lagu Penipu itu turut menyeru pembeli tiket konsert untuk membuat laporan polis.
“Kami baru sahaja buat report (laporan) di Balai Polis Damansara tentang Konsert 4G yang telah sekian lama tertangguh.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua peminat dan pembeli. Anda juga boleh membuat laporan polis di mana-mana sahaja balai berdekatan.
“Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin. Kami dah jalankan tanggungjawab kami, jadi harap anda juga dapat menjalankan tanggungjawab anda,” katanya.
Konsert 4G’s sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 di Istana Budaya, namun ditangguhkan ke tarikh 11 dan 12 Disember tahun yang sama.
Tiket-tiket berharga RM98, RM248, RM348, RM 428 dan RM518 telah dijual bermula Disember 2019, malah difahamkan penganjur turut menawarkan tempat duduk istimewa pada kadar RM988 setiap satu sebanyak 16 tempat pada setiap malam persembahan.
Sehingga kini konsert tersebut masih belum direalisasikan selain dan tiada perkembangan terbaru diumumkan.- KOSMO! ONLINE