PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia seharusnya insaf dan menyokong perjuangan Palestin kerana bukan mudah ulama tersohor negara itu untuk keluar tanpa sekatan oleh rejim Israel.
Perkara tersebut disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika mengulas isu Palestin daripada penindasan Zionis.
Ini termasuk kedatangan Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri ke Malaysia yang sewajarnya dihargai sebagai peluang umat Islam bertemu tokoh tersebut.
“Untuk keluar dari sana pun bukan senang dan kebetulan apabila dapat keluar datang ke Malaysia pula, maka banyaklah perkara boleh kita belajar,” katanya pada sidang akhbar.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat oleh cendekiawan terulung yang juga bekas Mufti Besar Palestin berusia 84 tahun itu di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im bersyukur dapat mengadakan pertemuan bersama Ekrima di Malaysia dan ia merupakan peluang keemasan buat dirinya bertemu tokoh agama itu.
“Apabila berjumpa beliau secara fizikal, banyak perkara mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Palestin dapat diketahui termasuk perkembangan terkini Al-Aqsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE