MANCHESTER – Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United tidak akan meneruskan hasrat mereka mendapatkan Harry Kane kerana Tottenham Hotspur ‘berkeras’ meletakkan harga tinggi bernilai £100 juta (RM585.80 juta).
Kapten England itu adalah calon utama pengurus United, Erik Ten Hag yang mahu membawa penyerang berkelas dunia ke Old Trafford mengembalikan zaman kegemilangan kelab tersebut seperti Ruud Van Nistelrooy dan Wayne Rooney.
Bagaimanapun, Ten Hag, 53, akhirnya mengalah dan mengibarkan bendera putih kerana merasakan Kane yang akan genap usia 30 tahun bulan depan terlalu mahal selain faktor kontraknya cuma berbaki setahun lagi bersama Spurs.
Disebabkan nilai yang terlalu tinggi, The Red Devils juga dipercayai tidak akan memburu penyerang prolifik Napoli, Victor Osimhen yang diletakkan harga bernilai £120 juta (RM702.96 juta).
Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis menganggap nilai tersebut tepat buat Osimhen selepas berjaya menamatkan penantian 33 tahun menjuarai saingan Serie A musim ini.
Justeru, penyerang Atalanta, Rasmus Hojlund dilihat lebih realistik buat United disebabkan harganya dalam lingkungan £40 juta (RM234.32 juta) hingga £60 juta (RM351.48 juta) selain umurnya juga baru berusia 20 tahun.
United juga boleh menggunakan dana mereka untuk mengikat khidmat tonggak pertahanan kental Napoli, Kim Min-jae dengan menebus klausa perpindahan bernilai £50 juta (RM292.90 juta) dalam kontrak bintang Korea Selatan itu.
Buat masa ini, The Red Devils yang menamatkan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketiga, semakin hampir untuk mendapatkan servis pemain tengah Chelsea, Mason Mount. – AGENSI