fbpx

Jac terbang sampai ke AS demi ‘Kembalilah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JACLYN VICTOR

SEPANJANG 20 tahun bergelar anak seni, penyanyi bervokal lantang, Jaclyn Victor berada pada kedudukannya tersendiri sebagai salah seorang vokalis wanita terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia.

Tiada siapa yang boleh mempertikaikan kehebatan penyanyi berketurunan India itu setiap kali melontarkan vokalnya sehingga membuatkan ramai merinding dengan gaya nyanyiannya.

Kehebatannya bukan sahaja diakui di Malaysia, bahkan juga diiktiraf pendengar dari luar negara apabila ramai YouTuber dari negara asing, terpegun dengan bakatnya.

Rakaman di AS, peminat

Sebagai tanda kasihnya kepada peminat, terbaharu, Jaclyn atau mesra disapa Jac kini muncul dengan sebuah single baharu berjudul Kembalilah, yang dihasilkan khas untuk peminat kesayangannya.

Lebih istimewa, Kembalilah yang dihasilkan oleh komposer Gerald Sellan, manakala liriknya ditulis oleh Adrian Puan menjalani proses rakaman di New York, Amerika Syarikat (AS).

“Saya terkejut apabila Gerald dan Adrian tawarkan lagu untuk saya. Disebabkan kedua-dua mereka menetap di New York, saya sanggup terbang ke sana untuk merealisasikan impian mereka.

“Semasa proses menghafal lirik dan rakaman di buat dalam studio, saya terus jatuh cinta dengan bait lagu yang sangat mendalam,” ujarnya.

Simbol harapan

Kata penyanyi berusia 45 tahun itu, Kembalilah mempunyai mesej tentang iman, harapan, cinta abadi dan peluang kedua.

JACLYN Victor hadir dengan single terbaharu berjudul Kembalilah selepas beberapa tahun vakum daripada sebarang perkongsian muzik.

“Melodinya pula sangat mendayu-dayu dan penuh makna. Bayangkan betapa terujanya saya apabila dapat menyanyikan lagu yang memakan masa selama 10 tahun untuk direalisasikan ini,” ujarnya.

Biarpun mengambil masa yang lama, Jac amat berpuas hati dengan kualiti yang ada pada Kembalilah dan yakin bahawa lagu tersebut dapat mencuri hati pendengar yang rindukan lantunan vokalnya menerusi lagu berentak balada.

Bagi komposernya, Gerald Sellan, dia mengakui telah menjadi peminat tegar Jac sebelum wanita itu menjuarai pertandingan Malaysian Idol lagi pada tahun 2004.

“Sejujurnya saya adalah peminat tegar Jaclyn Victor dan percaya dengan bakatnya sebelum dia menyertai Malaysian Idol lagi.

“Peluang bekerjasama dengan Jac umpama sebuah mimpi menjadi kenyataan. Ketika lagu ini dihasilkan, suara Jac sentiasa berlegar-legar dalam kepala saya.

“Jadi bayangkan betapa minatnya saya dengan nyanyian Jac. Walaupun lagu ini dihasilkan dalam Bahasa Malaysia, saya berharap Kembalilah dapat diterima pendengar seluruh dunia,” ujarnya.

Bagi Jac sendiri, single Kembalilah boleh dianggap sebagai ‘bayi sulung’ kerana menjadi lagu pertama di bawah naungan syarikatnya sendiri, Rag Doll Records.

Lebih membanggakan, lahirnya Kembalilah 100 peratus atas usaha dan kegigihan Jac sendiri bermula dari pemilihan lagu, terbang ke New York seorang diri, perancangan promosi sehinggalah single itu berkumandang di corong-corong radio.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI