KUANTAN – Sudahlah gaji cukup-cukup makan, nasib 359 penyelia Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) atau Pembantu Hal Ehwal Islam di seluruh negara dikatakan terus dipandang sepi apabila mereka hanya berjawatan kontrak sehingga bersara.
Meskipun jumlahnya sedikit, namun didakwa tiada seorang pun diserapkan ke jawatan tetap walaupun telah bekerja puluhan tahun.
Jawatan kontrak berkenaan menyebabkan banyak faedah tidak dapat dinikmati seperti pencen, pinjaman perumahan dan peluang melanjutkan pengajian.
Seorang bekas penyelia KAFA dikenali sebagai Ustaz Kamal berkata, dia mula bekerja sebagai penyelia KAFA sejak 1997 mengambil keputusan nekad berhenti daripada perkhidmatan itu selepas kecewa apabila masih tidak diserapkan kepada jawatan tetap.
“Saya mula bekerja dengan gaji RM500 ditambah elaun perjalanan sebanyak RM250, tetapi selepas lebih 20 tahun bekerja saya masih dalam gred S19 dengan perjawatan kontrak menyebabkan saya bertekad berhenti kerja.
“Ada juga rakan lain berhenti selepas mendapat kerja lain dan ramai lagi yang masih bekerja dan yang sudah bersara serta sudah meninggal dunia dengan perjawatan kontrak berkenaan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya memberi perhatian kepada nasib penyelia KAFA ini dengan menyerap mereka ke jawatan tetap agar memperoleh banyak faedah ketika mereka bertungkus-lumus bekerja demi anak bangsa.
Malah katanya, dengan hanya 359 penyelia KAFA di seluruh negara ia dilihat bukanlah bebanan yang besar untuk kerajaan melakukan penyerapan ke jawatan tetap sekiranya mereka bersungguh-sungguh ingin membantu.
Dalam pada itu, seorang penyelia KAFA yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan-rakan sejawatan sememangnya menaruh harapan tinggi agar mereka dapat diserap ke jawatan tetap sebelum mereka bersara.
Katanya, dengan perjawatan kontrak itu menyebabkan banyak faedah tidak dapat dinikmati seperti pencen, pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi.
Berita berkaitan: Guru KAFA hidup miskin, gaji RM1,000
Berita berkaitan: Guru KAFA gaji RM1,000 dapat perhatian PM
Malah katanya, mereka juga tidak mempunyai faedah untuk menyambung pelajaran bagi menambah ilmu dan mengembangkan kerjaya mereka akibat kekangan tersebut.
Katanya, dengan kerja yang dilakukan seharian bermula 8 pagi sehingga ke pukul 5 petang dan pelbagai kerja luar yang dilakukan adalah wajar mereka diberi keadilan seperti penjawat awam lain dengan menerima faedah daripada perjawatan tetap.
“Kami amat mengharapkan agar kerajaan dapat memberi perhatian kepada kami supaya dapat diserapkan ke jawatan tetap bagi menghargai khidmat kami kepada agama bangsa dan negara sepanjang hidup kami.
“Kami juga meminta supaya nasib guru-guru KAFA di bawah seliaan kami mendapat perhatian kerana pendapatan mereka masih rendah di bawah gaji minimum,” ujarnya.