Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon, belum berpuas hati dengan jentera serangan pasukan negara meskipun menang 4-1 ke atas Kepulauan Solomon pada kelmarin.
Beliau berkata, skuad kebangsaan seharusnya memenangi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 tersebut dengan lebih selesa dan mampu menjaringkan lebih daripada empat gol.
Pengendali berasal Korea Selatan itu berkata, ketiadaan penyerang tulen untuk mengetuai barisan hadapan sedikit menjejaskan rentak permainan skuad negara, namun tidak berdepan masalah untuk mencatat satu lagi kemenangan.
“Kami bermula dengan langkah sumbang gara-gara kesilapan yang membawa kepada gol pendahuluan pasukan lawan, namun saya gembira pemain memberi reaksi positif selepas itu.
“Berdasarkan persembahan malam ini (kelmarin), kami berhak untuk memenangi perlawanan dengan jumlah jaringan lebih besar berdasarkan deretan peluang yang kami ada,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Harimau Malaya dikejutkan gol pembukaan pasukan pelawat yang dihasilkan oleh Raphael Lea’i seawal minit ke-11 berpunca kesilapan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.
Bagaimanapun, anak-anak buah Pan-gon bangkit dengan menghasilkan dua gol di hujung babak pertama menerusi jaringan Paulo Josue pada minit ke-40 disusuli sepakan penalti yang disempurnakan oleh Arif Aiman Hanapi (m-45).
Pemain sayap, Safawi Rasid yang masuk sebagai pemain gantian kemudian melakukan rembatan menarik pada minit ke-77 untuk gol ketiga sebelum Lee Tuck melengkapkan kemenangan 4-1 hasil jaringan dalam masa kecederaan.
Pan-gon berkata, jentera serangan pasukannya perlu lebih tajam kerana berisiko dihukum sekiranya melepaskan peluang terhidang tersebut seandaianya berdepan lawan lebih sukar.
“Ini bukan perlawanan yang mudah buat kami dan apa yang penting pemain belajar sesuatu daripada pertemuan dengan Kepulauan Solomon untuk aksi berikutnya.
“Apa pun saya gembira Malaysia dapat mengekalkan rentak kemenangan di gelanggang sendiri dan harus melakukan persiapan lebih rapi bertemu Papua New Guinea pada Selasa ini,” katanya.