IMPIAN murni seorang bapa yang mahu melihat anak perempuannya bergelar usahawan dan memiliki perniagaan sendiri akhirnya tercapai.
Ia selepas anaknya, Sailajah Salveekem bergelar seorang usahawan hasil daripada kesungguhannya menjalankan perniagaan berkaitan produk penjagaan kulit kepala dan rambut.
Menurut Sailajah, bapanya yang juga memiliki perniagaan sendiri mahu melihatnya menjadi usahawan dan bergelar jutawan.
Pada awalnya, dia mengakui agak tertekan dengan desakan bapanya yang sering kali mengingatkannya tentang matlamat menjadi seorang jutawan.
Bagaimanapun, dia sendiri tidak tahu cara menggapai impian bapanya itu.
“Dahulu saya pernah bekerja sebagai akauntan di sebuah kilang di Masai, Johor.
“Masa itu, setiap hari bapa hubungi saya melalui telefon serta mengingatkan saya supaya cepat-cepat berusaha jadi usahawan dan jutawan.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana cara untuk tunaikan impian bapa kerana ketika itu saya cuma makan gaji RM2,000 sebulan,” katanya membuka perkongsian bersama Aura.
Letih ‘memerah otak’ berbulan-bulan memikirkan cara menjadi usahawan dan miliki perniagaan sendiri, suatu hari Sailajah terfikir untuk mencari pendapatan sampingan.
Ketika itu katanya, dia membuat keputusan untuk mengajar tuisyen di rumah kerana tidak mahu mensia-siakan ilmu perakaunan yang dimilikinya.
Pada masa sama, wanita berusia 36 tahun itu menjual barangan dan produk kosmetik syarikat lain secara online bagi mengisi masa lapang.
Permintaan terhadap produk yang dijual Sailajah semakin hari semakin laris.
Ceritanya, melihat kepada usaha kerasnya berniaga produk orang sehingga menjana keuntungan, terdetik di hatinya untuk cuba mengeluarkan jenama sendiri.
Dari situlah dia nekad berhenti kerja dan memperkenalkan produk penjagaan kulit kepala dan rambut dengan jenama yang diambil sempena namanya sendiri iaitu Sailajah.
“Semasa mula-mula membuka perniagaan, saya rasa berniaga adalah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
“Namun, apabila sudah ada produk sendiri, barulah saya tahu yang buat bisnes ini tidak semudah difikirkan seperti sebelum ini.
“Sehari, saya hendak jual satu produk pun terlalu susah.
“Hendak dapat RM100 pun sangat susah pada awalnya, walaupun keluarga ada darah bisnes,” katanya.
Berkongsi pengalamannya menjalankan perniagaan, wanita cekal itu memberitahu, semua orang perlu mengejar ilmu yang relevan dengan apa yang mereka lakukan seperti perniagaan.
“Dalam bisnes ini, ada banyak persaingan.
“Kalau kita tidak ada ilmu, kita akan jauh ketinggalan.
“Jangan takut melabur sedikit modal bagi mendapatkan ilmu dan menyertai seminar atau kelas perniagaan.
“Ini kerana, kalau mahu bisnes maju dan berkembang, kita perlu ada ilmu untuk melakukannya,” katanya.
Di sebalik perjuangannya itu, Sailajah menyimpan impian agar suatu hari nanti syarikatnya dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.