fbpx

Tiada henti tugas LRA Sungai Labu, Salak Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ban tanah yang dibina bagi mengelakkan tumpahan minyak terus mengalir sehingga boleh menyebabkan henti tugas LRA Sungai Labu dan Salak Tinggi.

SHAH ALAM – Kepantasan pengendali konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) membina ban tanah berjaya menghalang aliran tumpahan minyak daripada sebuah treler muatan kelapa sawit yang terbalik di Kilometer (km) 276.1 Lebuh Raya Utara Selatan hari ini.

Tindakan tersebut seterusnya mengelakkan sebarang henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu dan Salak Tinggi yang bakal mengakibatkan gangguan air tidak berjadual kepada penduduk di sekitar Lembah Klang.

Dalam kemalangan kira-kira 6.55 pagi itu, treler tersebut terbalik dan terputus dua selepas terbabit kemalangan bersama dua buah lagi kereta yang masing-masing jenis Toyota Vios dan Honda City.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, susulan kemalangan tersebut tumpahan minyak sawit telah mengalir memasuki longkang dan takungan minyak di lebuh raya berkenaan.

Katanya, Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan da PLUS telah diminta bekerjasama untuk mengambil tindakan kawala segera di lokasi kejadian.

“PLUS telah membina ban tanah untuk menghalang aliran minyak dari masuk ke sistem saliran berhampiran.

“Seterusnya pengalihan lori dan aktiviti penyedutan minyak juga sedang dijalankan oleh pihak pemilik lori berkaitan,” katanya dalam kenyataan di laman sosial rasminya sebentar tadi.

Jarak dari punca pencemaran ke LRA Sungai Labu dianggarkan 10.7 km manakala LRA Salak Tinggi pada jarak 15.68 km.

Jelas LUAS, pasukan kecemasan mereka yang berada di tapak untuk memantau kerja-kerja pembersihan mendapati tiada kemasukan ke saliran berhampiran.

“Justeru, tiada sebarang gangguan dan henti tugas LRA dilaporkan berikutan langkah kawalan awal yang telah dilaksanakan di tapak kejadian,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan LRA Sungai Labu dan LRA Salak Tinggi berkemungkinan akan dihenti tugas susulan kemalangan di 276.1 Lebuh Raya Utara Selatan hari ini yang menyebabkan tumpahan minyak dari sebuah treler membawa muatan kelapa sawit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI