AMPANG – “Kami sekeluarga tidak dapat menerima perbuatan suspek yang melarikan diri dan langsung tidak memberi pertolongan ketika arwah kemalangan.”
Demikian luahan Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36 tahun, anak sulung mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (Suke), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Suke apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.
Menurut Hafidz, dirinya serta keluarga masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa suspek langsung tidak mengendahkan bapanya, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, yang ditimpa kemalangan akibat kecuaian dirinya sendiri.
“Buat masa sekarang, kami sekeluarga sangat bersedih dan masih terkejut di atas pemergian ayah tercinta.
“Tetapi kami sekeluarga tidak dapat menerima perbuatan suspek yang melarikan diri dan langsung tidak cuba mencari kami untuk memohon maaf.
“Suspek langsung tiada usaha membuat panggilan kepada pihak hospital atau berjumpa dengan kami ahli keluarga bagi meminta maaf,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Perubatan Forensik Hospital Ampang, dekat sini selepas proses bedah siasat dilakukan, hari ini.
Muhammad Hafidz berkata, dirinya mendapat perkhabaran pemergian arwah ayah hanya apabila pihak polir hadir ke rumah dan memaklumkan kejadian menyayat hati tersebut kepada ibunya.
Menurutnya, mengetahui kemalangan tersebut, dia hanya menyangka ayahnya itu sekadar mengalami kecederaan patah kaki atau seumpamanya.
“Pada mulanya, saya menjangkakan ayah hanya mengalami kecederaan atau patah kaki.
“Saya sudah bertekad untuk menjaganya. Namun Allah lebih menyayangi arwah dan menjemputnya menerusi kejadian ini,” ujarnya.
Katanya, meskipun suspek bersalah kerana melawan arus dan menyebabkan arwah ayahnya, namun setidak-tidaknya suspek mencari dia sekeluarga untuk memohon maaf.
Kosmo! difahamkan, proses bedah siasat selesai sekitar pukul 1 petang dan urusan mandi jenazah dilakukan di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, di sini selepas jenazah dibawa keluar.
“Arwah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terhentak ke tanah lalu saraf tunjang arwah ayahnya di tengkuk dipercayai telah terputus,” tambahnya.
Jenazah Ahmad Fadzil dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada petang ini.
Sehubungan itu, Muhammad Hafidz memohon semua yang mengenali arwah ayahnya untuk mendoakan kebaikan buatnya dan berada dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh. – KOSMO! ONLINE.