fbpx

Dewan Rakyat: KPM sahkan hampir 30,000 pelajar tak ambil SPM 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan hampir 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 termasuk calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan awam itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, jumlah tepat adalah seramai 29,663 daripada 388,832 pelajar tidak mengambil peperiksaan berkenaan tahun lalu.

“Tiada percanggahan angka yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia menyenaraikan jumlah keseluruhan yang tidak mengambil peperiksaan termasuk calon mendaftar satu mata pelajaran sahaja.

“Apa yang dinyatakan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengenai hanya 14,858 atau 3.8 peratus calon tidak hadir peperiksaan adalah mereka yang berdaftar mengambil enam mata pelajaran termasuk calon persendirian,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin mengetahui percanggahan angka keciciran pelajar yang menduduki SPM 2022 yang disenaraikan Anwar dan Radzi.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, kementerian berusaha menambah baik sistem pengajaran serta pembelajaran berasaskan teknologi dan digital untuk memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan.

Katanya, bantuan kepada golongan guru diteruskan dengan penyediaan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan bagi menyokong peranan mereka dalam mendidik murid-murid.

“Guru akan diberi latihan dan bimbingan berterusan dalam mendukung pelaksanaan dasar pendidikan semasa termasuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam aspek pendigitalan pendidikan bagi mendepani pendidikan abad ke-21,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI