fbpx

Dewan Rakyat: Tindakan Vietnam kurangkan eksport beras tidak jejas negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan Vietnam mengurangkan eksport beras daripada 7.1 juta tan tahun lalu kepada empat juta tan setiap tahun menjelang 2030 tidak akan menjejaskan sumber bekalan makanan utama itu di Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, buat masa ini keperluan beras dalam negara dipenuhi 70 peratus oleh pengeluaran tempatan, manakala 30 lagi ditampung melalui kemasukan beras import.

“Kerajaan amat menyedari situasi global yang sedang berlaku pada masa ini, yang mana sekatan eksport oleh negara pengeluar beras tentunya akan menjejaskan keterjaminan bekalan makanan.

“Bagi Malaysia, sumber import beras adalah dari pelbagai sumber negara iaitu India, Myanmar, Kemboja, Pakistan dan Thailand, serta tidak hanya bergantung kepada Vietnam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang meminta apakah langkah drastik yang perlu diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran beras tempatan, di samping memperkasakan tanaman padi di Sabah dan Sarawak susulan tindakan Vietnam yang mengambil langkah mengurangkan eksport beras.

Tambah beliau lagi, antara langkah yang telah diambil bagi meningkatkan pengeluaran dan memperkasakan penanaman padi di dua negeri itu antaranya, melalui Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) yang diperkenal sejak 2015. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI