JEMPOL- Seorang isteri bimbang dengan keselamatan suaminya apabila tidak pulang-pulang selepas keluar memancing kira-kira pukul 1.30 pagi kelmarin di kawasan sungai berhampiran dengan rumah serta tempat bekerjanya, di Ladang Geddes, di sini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, isteri lelaki hilang berkenaan berusia 46 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes kira-kira pukul 1.50 petang hari yang sama lelaki tersebut hilang.
Menurutnya, usaha mengesan lelaki berusia 42 tahun itu telah dilakukan bersama pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Jempol, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jempol, RELA dan penduduk kampung.
“Lelaki berkenaan kemudiannya ditemui kira-kira pukul 6.30 petang di simpang tiga dalam sebuah kebun kelapa sawit di sini. Hasil temubual mendapati, dia gagal mendapatkan ikan setelah hampir satu jam memancing di lokasi asal sebelum menyeberang sungai untuk ke sungai yang melalui kebun kelapa sawit bagi menukar tempat memancing.
“Semasa dalam perjalanan dia tersesat, dia juga tidak dapat menghubungi keluarganya kerana tidak membawa telefon bimbit lalu berlegar-legar dalam kebun sawit itu sehingga hari siang.
“Lebih kurang satu jam berjalan kaki, dia terdengar enjin motorsikal dan mengikuti bunyi tersebut sehingga menemui jalan simpang tiga yang menuju ke rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, lelaki yang hilang berkenaan telah meminta bantuan penunggang motosikal tersebut untuk memaklumkan kepada keluarganya dan kes pencarian orang hilang ditamatkan pada pukul 6.48 petang.
“Terdahulu pasukan bomba telah menggerakkan usaha mengesan dan membuat pencarian mangsa di kawasan sungai sepanjang lebih kurang tiga kilometer tetapi gagal menemui orang hilang,” katanya, – KOSMO! ONLINE