SEREMBAN – Lima remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes insiden membaling batu ke arah sebuah lori di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Senawang Seremban di sini, Isnin lalu seperti yang tular di media sosial telah berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kelima-lima suspek berusia 14 hingga 15 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar Seremban.
“Hasil operasi dan maklumat, pada pukul t hingga 7 petang semalam sepasukan Anggota Respon Team Balai Polis Senawang telah berjaya membuat tangkapan ke atas lima lelaki untuk siasatan lanjut bersabit kes baling batu di Lebuh Raya Seremban Senawang.
“Tiga tangkapan dibuat di Bandar Seremban Selatan dan dua tangkapan di Taman Seremban Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Arifai, kesemua suspek masih bersekolah iaitu tiga suspek berusia 14 tahun manakala dua suspek lagi berusia 15 tahun.
“Permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat di mahkamah hari ini,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, pihak polis mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden membaling batu ke arah sebuah lori di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Senawang Seremban di sini kelmarin seperti yang tular di media sosial.
Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori berusia 32 tahun telah membuat laporan polis lebih kurang pukul 8.14 malam kelmarin menyatakan cermin hadapan lori miliknya telah dibaling objek kayu dan batu semasa sedang melalui Lebuh Raya Senawang Seremban. – KOSMO! ONLINE