fbpx

Berebut tanah, lelaki didakwa ‘cangkul’ ibu saudara sampai parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Gara-gara berebut tanah, seorang juruacara majlis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan ibu saudaranya sehingga parah menggunakan sebatang cangkul, minggu lalu.

Tertuduh, Johari, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Jalilah Jalal, 60, dengan menggunakan suatu alat yang jika digunakan sebagai senjata mungkin boleh menyebabkan kematian iaitu sebatang cangkul.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di hadapan sebuah rumah bernombor di Jalan Daeng Tawi, Telok Mas pada 10 Jun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh yang bertaraf Pemastautin Tetap boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham antara tertuduh dengan mangsa melibatkan isu pemilikan tanah.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan sebarang jaminan seperti mana diperuntukan bagi kesalahan tersebut.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira faktor kecederaan dialami mangsa iaitu cedera di bahagian otak, patah tulang pipi, dagu dan rusuk serta pendarahan mata sehingga terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapu merayu agar diberikan jaminan dengan alasan dia perlu menyara isteri serta empat orang anak, selain mendakwa ibu saudaranya itu gila dan kejadian berlaku kerana dia ingin mempertahankan keluarganya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh 18 Julai sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI