fbpx

KPDN tumpaskan aktiviti seleweng LPG di Mantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA penguat kuasa KPDN Putrajaya melakukan pemeriksaan dalam serbuan ke atas sebuah premis yang menjalankan aktiviti penyelewengan LPG di Mantin, Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Satu aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) ditumpaskan dalam serbuan dilakukan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas sebuah premis dekat Mantin di sini, dua hari lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira pukul 11.00 malam hasil risikan yang telah dilakukan selama dua minggu sebelum operasi dilakukan.

“Semasa serbuan, seorang individu lelaki didapati sedang leka melakukan aktiviti pemindahan LPG daripada tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50kg. LPG 50 kg itu seterusnya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14 kg bersubsidi terus daripada lori-lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang, Nilai, Mantin dan Broga. LPG bersubsidi tersebut kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit seterusnya akan dipindahkan ke tong LPG 50 kg untuk kegunaan industri.

“Beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 12 kg, 14 kg dan 50kg, kenderaan jenis lori 2.5 tan, alat penimbang pelantar elektronik, hos penyambung, telefon bimbit serta beberapa dokumen perniagaan lain yang turut ditemui telah disita bagi siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman menambah, dalam serbuan itu, seorang lelaki warganegara tempatan berumur lingkungan awal 40-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit juga telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenal pasti rantaian pengedaran LPG terbabit.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI