KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis mengambil keputusan tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian fizikal secara berperingkat dengan tiada lagi premis judi wujud di negeri itu menjelang Mac 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, tindakan itu dilakukan selari dengan hasrat kerajaan negeri yang diumumkan pada awal tahun lalu.
“Perlis mempunyai enam premis judi yang berdaftar dengan dengan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan tindakan kita tidak memperbaharui lesen ini menyebabkan kehilangan sumber hanya RM2,544 setahun.
“Walaupun tindakan ini menyebabkan kita kerugian hasil, namun saya yakin lebih banyak sumber lain yang lebih baik akan menggantikan kutipan hasil premis perjudian ini,” katanya kepada pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Baru-baru ini Ketua Pembangkang negeri, Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan) membangkitkan kerajaan negeri tidak telus dalam isu penutupan premis perjudian.
Ia selepas beberapa pemilik premis menerima makluman daripada MPK bahawa lesen mereka tidak diperbaharui walaupun belum ada kata putus daripada Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Fakhrul Anwar menjelaskan tindakan berkenaan tidak menjadi masalah dalam masyarakat bukan Islam kerana isu tersebut juga telah difahami dan perkara sama turut dilakukan di Kedah, Kelantan dan Terengganu. – KOSMO! ONLINE