BANGI – Dua daripada enam warga Bangladesh ditemui mati selepas terperangkap dalam kebakaran di kilang Percetakan Penerbitan Bangi Sdn Bhd di Jalan P10/18, Taman Industri Selaman, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada pukul 4.14 pagi daripada orang awam.
Katanya, 23 anggota dan 13 pegawai lain-lain pangkat serta tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi, BBP Kajang, BBP Semenyih dan BBP Serdang bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, dilaporkan kebakaran melibatkan sebuah kilang percetakan dan pemadaman dilakukan secara secara terus ke dalam bangunan oleh anggota bomba.
“Kebakaran melibatkan kertas kitar semula yang terdapat di dalam bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau terdapat enam orang mangsa warga Bangladesh yang terperangkap dalam kebakaran diselamatkan pihak bomba.
“Dua daripada mangsa tersebut disahkan meninggal dunia akibat terhidu asap disebabkan kawasan kilang yang tiada ruang pengudaraan.
“Kerja-kerja overhaul masih dilakukan di lokasi kejadian,” katanya.
Tambah Md. Razali, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.48 pagi dan dipadamkan pada pukul 4.50 pagi. – KOSMO! ONLINE