KOTA BHARU – Seorang penebar roti canai di sini, buntu untuk mencari dana sebanyak RM10,000 bagi membolehkan anak tunggalnya menjalani pembedahan sumbing lelangit sejak lahir.
Mohd. Zaki Ishak, 33, yang meraih pendapatan kira-kira RM50 sehari berkata, hasil titik peluhnya itu hanya cukup-cukup untuk makan dirinya, isteri, Wan Haslinda Wan Hassan, 29, dan anak, Nur Mardhiah Azzahra, 4.
Menurutnya, pendapatannya itu juga perlu dibahagikan untuk membeli kelengkapan seperti susu dan lampin anaknya itu.
“Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di Temerloh, Pahang sebelum pulang ke kampung dan menumpang di rumah ibu di Kampung Pondok Terusan, Limbat di sini tahun lalu.
“Semasa tinggal di Temerloh, anak saya menerima rawatan sumbingnya di Hospital Temerloh. Kini, segala urusan rawatan ditukarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mohd. Zaki memberitahu, sumbing lelangit yang dialami Nur Mardhiah Azzahra menyebabkan anaknya itu sukar untuk bercakap.
Katanya, keadaan sumbing di bahagian lelangit itu juga semakin memanjang seiring dengan
peningkatan usianya.
“Semasa tinggal di Temerloh, hospital di daerah berkenaan tidak memberikan sebarang tarikh untuk pembedahan. Saya amat kecewa apabila mereka menganggap keadaan yang dialami anak saya tidak kritikal.
“Apabila berpindah ke sini, saya membawa Nur Mardhiah Azzahra untuk rawatan di HUSM dan diberitahu memerlukan kos sebanyak RM10,000 untuk pembedahan lelangit,” ujarnya.
Ujarnya, pihak hospital memberi jaminan akan menjalankan pembedahan dengan segera sekiranya dia sudah ada wang yang mencukupi.
Tambah Mohd. Zaki, selain sukar bercakap, masalah sumbing lelangit yang dialami anaknya turut menyebabkan dia sukar untuk makan atau minum.
“Saya tidak sanggup melihat anak saya makan atau minum kerana dia perlu membuat kedua-dua perkara tersebut dengan cepat. Jika tidak, makanan atau minuman akan keluar melalui hidung.
“Sumbing lelangit itu menjadikan bahagian tersebut tiada dinding. Jadi, dia hanya perlu mengunyah makanan di atas lidah sebelum menelannya,” katanya.
Menurutnya, sebagai bapa, luluh hatinya apabila perlu melihat anaknya terseksa sewaktu makan atau minum setiap hari.
Selain mengalami sumbing lelangit, Nur Mardhiah Azzahra turut menderita jantung berlubang.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Zaki di talian 017-982 3228 atau terus ke akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) Wan Haslinda Wan Hassan, 0320129000046085.