fbpx

Mengantuk punca pemandu lori rempuh polis bantuan hingga maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa maut dirempuh lori ketika sedang membantu sebuah kereta Perodua Viva yang rosak di KM11.6 Jambatan Kedua pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Letih dan mengantuk dipercayai menjadi punca seorang pemandu lori hilang kawalan sehingga menyebabkan seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut dalam nahas di Kilometer 11.6, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, suspek berusia 26 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu juga tidak memiliki lesen memandu namun, bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol.

Terdahulu, Chong Chern memberitahu, kejadian berlaku apabila seorang pemandu kereta Perodua Viva telah memberhentikan keretanya di lorong kiri iaitu lorong kecemasan jambatan berkenaan akibat mengalami kerosakan.

Menurutnya, mangsa, Musyiri Bakar, 49, tiba tidak lama kemudian bersama kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan di belakang Perodua Viva itu untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Bagaimanapun, ketika mangsa sedang berjalan ke arah kereta Perodua Viva itu, datang sebuah lori dari arah belakang dan melanggar Toyota Hilux tersebut sebelum ia menggelongsor dan mengenai mangsa yang sedang berdiri di antara kenderaannya dan pembahagi jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa tersepit sebelum terpelanting ke lorong motosikal dan dilanggar pula oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu,” katanya di sini, hari ini.

Jelas beliau, mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap mendapati, punca kematian mangsa adalah disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten akibat pelanggaran kenderaan motor.

“Penunggang motosikal yang melanggar mangsa pula kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala pemandu Perodua Viva yang juga seorang wanita berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Tambah beliau, keempat-empat kenderaan yang terlibat termasuk kereta Perodua Viva serta motosikal yang melanggar mangsa turut mengalami kerosakkan akibat kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI