fbpx

Polis tumpas Geng Emi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Farouk Eshak, menunjukkan barangan rampasan selepas berjaya menangkap kumpulan pecah kedai dan curi motorsikal Geng Emi ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini. FOTO - AMIR KHALID

AMPANG JAYA – Kelicikan Geng Emi yang aktif melakukan jenayah pecah kedai dan curi motosikal sejak awal tahun lalu berakhir selepas tiga ahli kumpulannya berjaya diberkas Selasa lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan dalam lingkungan 24 hingga 30 tahun itu ditahan disebuah kawasan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kira-kira pukul 7.40 petang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Farouk Eshak berkata, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan berkaitan kejadian pecah kedai gajet dan aksesori telefon bimbit di Taman Permata, Taman Melawati pada hari yang sama.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, pelbagai barangan dilarikan suspek termasuk beberapa buah telefon bimbit dan kamera papan pemuka dengan anggaran kerugian mencecah RM10,000.

“Siasatan lanjut mendapati kumpulan ini aktif melakukan kegiatan jenayah secara berkumpulan dengan menaiki motosikal dan menyasarkan kedai aksesori telefon bimbit serta gajet dengan mengumpil pintu premis pada waktu malam.

“Pada masa sama, kumpulan ini juga turut mencuri motosikal yang diletakkan di kawasan perumahan pada waktu malam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Susulan penahan ketiga-tiga suspek itu, Mohd Farouk berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes pecah kedai di daerah ini serta enam kes curi motosikal.

“Kita juga turut merampas pelbagai barangan daripada kumpulan ini antaranya telefon bimbit, jam tangan, peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah seperti kuku kambing, wang tunai RM1,100, satu paket dadah syabu seberat 7.6 gram serta enam buah motosikal.

“Pemeriksaan terhadap motosikal yang dirampas mendapati empat daripadanya dilaporkan hilang di daerah ini, Gombak dan Wangsa Maju, manakala dua buah lagi motosikal didapati nombor casis dan enjinnya sudah dirosakkan,” katanya.

Tambah beliau, semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 24 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, pecah rumah, dadah dan curi kenderaan.

“Ujian air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu.

“Kesemua suspek yang tidak bekerja direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan,”ujar Mohd Farouk. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI