KUALA SELANGOR – Seorang wanita panik selepas mendapati kediamannya di Taman Gaya Merak, Bukit Rotan di sini, dimasuki seekor monyet yang dipercayai kelaparan mencari makanan, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu disedari mangsa berusia 30-an yang melihat haiwan berkenaan di dalam rumah tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 6.59 petang.
“Monyet itu dipercayai memasuki rumah berkenaan melalui pintu depan yang terbuka. Wanita itu memaklumkan haiwan berkenaan memasuki kediaman kerana kelaparan. Haiwan itu berjaya ditangkap dalam tempoh tiga minit dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, monyet yang ditangkap itu kemudian dilepaskan ke habitat asal. – KOSMO! ONLINE