fbpx

Penjawat awam dilarang burukkan kerajaan, boleh kena tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Penjawat awam akan dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sekiranya membuat penyataan awam yang memalukan atau memburukkan kerajaan secara lisan mahupun bertulis.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, penjawat awam harus peka dengan penggunaan media sosial tanpa batasan dan kawalan emosi kerana akan menimbulkan implikasi negatif sekali gus mengganggu tumpuan terhadap amanah hakiki yang dipertanggungjawabkan.

“Bagi penjawat awam, kita tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan rakyat. Dalam pada masa yang sama, ada juga penjawat awam sendiri yang menggunakan media sosial sebagai ruang melampiaskan kata-kata jelik atau melontarkan kecaman atau sindiran terhadap kerajaan.

“Perkara seperti ini wajar ditangani, suka untuk saya tekankan di sini mengenai Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu penjawat awam dilarang untuk membuat penyataan awam yang memalukan atau memburukkan kerajaan secara lisan mahupun bertulis,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2022 di sini hari ini.

Menurutnya, seiring dengan pertumbuhan kemajuan teknologi yang pesat dan membolehkan sesiapa sahaja mendapat pelbagai maklumat dengan hanya hujung jari penjawat awam harus berwaspada dengan setiap maklumat atau informasi yang didapati itu tidak semestinya betul dan tepat.

“Tidak dapat dinafikan, media sosial khususnya seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram dan banyak lagi menjadi medium penting yang mampu menjadi punca dalam mempengaruhi reaksi masyarakat serta membangkitkan impak positif atau negatif terhadap pelaksanaan dasar yang dilakukan oleh kerajaan.

“Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak serta berintegriti dalam meningkatkan produktiviti serta kualiti kerja kerana dengan medium tersebut pelbagai informasi dan maklumat mampu dicapai bagi meningkatkan pengetahuan dan membentuk intelektual diri,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Suaidi berkata, seramai 67 orang penerima iaitu 60 orang daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan tujuh orang daripada Pejabat Kewangan Negeri Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022.

“Kepada 67 orang penerima pada hari ini, saya mengharapkan agar pengiktirafan yang diberikan ini akan memberi kesan serta dorongan ke arah membudayakan kecemerlangan dalam semua aspek serta menjadi suntikan semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi, berintegriti dan iltizam yang tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI