NILAI – Trio pecut berpasukan negara yang dianggotai Muhammad Fadhil Mohd. Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah mencetus sensasi apabila berjaya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini.
Pada saingan tersebut, skuad berbasikal elit lelaki negara yang baharu digandingkan untuk menggantikan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut mempersembahkan aksi cukup positif selepas mengatasi trio dari Kazakhstan, Dmitriy Rezanov, Kirill Kurdidi dan Sergey Ponomaryov dengan catatan 44.728 saat.
Fadhil mengakui dia berbangga dan gembira dengan prestasi dua pelumba baharu tersebut selepas berjaya memastikan podium menjadi milik negara.
“Alhamdulilah dengan keputusan hari ini kerana kami dapat meraih pingat gangsa. Saya berbangga dengan apa yang dipamerkan dua pelumba negara iaitu Ridwan dan Umar selepas berjaya melaksanakan apa kami rancang.
“Saya gembira kerana kami menduduki tempat ketiga, memang satu permulaan yang baik dan perkara positif ini saya akan bawa sehingga ke acara kegemaran saya, satu kilometer ujian masa nanti,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Pingat emas dimenangi Jepun menerusi Kaiya Ota, Yuta Obara, Yoshitaku Nagasako. Manakala pingat perak menjadi milik pasukan China yang dibarisi trio terbaik mereka, Chenxi Xue, Yu Zhou dan Shuai Guo.
Sementara itu, trio wanita pecut berpasukan yang membabitkan Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan pula terlepas gangsa namun, mereka berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali di sebelah pagi (kelayakan) dan di sebelah petang (penentuan tempat ketiga/keempat).
Gandingan ‘Marka Utagha’ tersebut berjaya memecahkan rekod lama 50.172s yang dicatatkan sewaktu Piala Negara-Negara UCI di Kanada April lalu selepas mereka melakukan 49.766s di sebelah pagi (kelayakan), manakala pada penentuan tempat ketiga/keempat mereka sekali lagi memecahkan rekod dengan catatan 49.204s.
Emas dalam acara berkenaan diraih China dengan catatan masa 46.723s, manakala perak menjadi milik Jepun (48.198s) dan gangsa diraih Korea Selatan (48.847s).
Dalam saingan para, satu emas berjaya diraih melalui acara pecut tendem berpasukan campuran yang dibarisi Mohd. Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya Zamri serta dan Farina Shawati Adnan.
Mereka berjaya mencatat masa peribadi terbaik 51.526s, mengatasi masa terdahulu 52.429 yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Paris.
Terdahulu, skuad berbasikal para negara yang beraksi dalam acara akhir pecut campuran terpaksa akur dengan apabila tewas kepada China bagi perebutan pingat emas.Malaysia yang dibarisi Mohamad Yusof Hafizi, Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Hafiz Jamali mencatatkan masa 51.697s akur dengan kehebatan China yang menamatkan perlumbaan dengan 49.216s. -KOSMO! Online