KUANTAN – “Itu cuma khabar angin,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail apabila ditanya tentang kesan kepada parti sekiranya 10 ‘warlord’ UMNO keluar parti itu dan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Beliau justeru itu meminta agar semua pihak tidak mempercayai khabar angin terbabit.
“Semua orang boleh cakap 10, lima atau tiga ‘warlord’ sertai PN.
“Kita kena faham, ini politik ada PRN dan macam-macam cerita. Jangan kita pula yang mewar-warkan cerita yang belum sahih. Jangan percayalah. Kita maju ke hadapan sahajalah,” katanya selepas melawat Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan berusia setahun empat bulan menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1 di Permatang Badak Maju, di sini hari ini.
Beliau dalam masa sama turut menafikan tentang khabar angin salah seorang ‘warlord’ UMNO terbabit adalah daripada negeri ini.
“Tiada, saya tiada dengar cerita,” ujarnya ringkas.
Kelmarin, PN dikatakan akan mengumumkan senarai 10 ‘warlord’ merangkumi individu yang disisihkan UMNO untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan itu.
Laporan sebelum ini, menyebut selain bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disebut-sebut antara bakal menyertai PN.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula pada Khamis lalu mengucapkan selamat maju jaya kepada beberapa bekas pemimpin parti itu yang akan menyertai PN sebelum PRN. – KOSMO! ONLINE