fbpx

Kerajaan Pahang beri jaminan cukupkan dana bantu Baby Athif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY (kiri) melawat adik Athif di rumah keluarga bayi berkenaan di Taman Permatang Badak Maju di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Negeri memberi jaminan akan menanggung baki kos perubatan Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang dianggarkan berjumlah RM300,000 daripada keseluruhan kos RM9.7 juta bagi pembelian ubat Genetik Zolgensma merawat penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1 dihidapinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeru itu kerajaan negeri meminta agar bayi berusia 1 tahun 4 bulan yang mesra dipanggil Baby Athif itu segera mendapatkan rawatan tanpa perlu menunggu kutipan dana Yayasan Misi Rakyat (Misi Rakyat) yang kini telah mencecah RM9.5 juta.

Katanya, beliau telah berbincang dengan ibu bapa Baby Athif, Mohd. Farhan Mohd Sait, 35 dan isterinya, Nur Azizah Zamri, 33, mengenai perkara terbabit ketika berkunjung ke kediaman mereka di Taman Permatang Badak Maju, di sini.

“Saya telah berbincang dengan ayah Baby Athif supaya tindakan mengubati Baby Athif mula diambil. Kita tidak mahu menunggu dana RM9.7 juta mencukupi baharu hendak ambil tindakan. Sekarang sudah perlu mula.

“Tinggal RM300,000 sahaja baki tinggal dan saya yakin masih ada rakyat yang akan terus menderma. Jika tidak mencukupi, saya beri jaminan Kerajaan Negeri akan menanggung segala baki yang masih berkurang,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada kesemua pihak yang tampil memberikan sumbangan berikutan kos perubatan yang diperlukan bukanlah satu jumlah yang kecil.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan kepada kedua ibu bapa, harap terus bersabar. InsyaAllah kita akan bantu mana yang boleh,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Farhan merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang ingin membantu bagi mencukupkan dana yang diperlukan selain turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencukupkan dana terbabit.

Menyentuh tentang perkembangan Baby Athif katanya, anak bongsu dari tiga beradik itu pada minggu lalu telah diambil sampel darah bagi mengetahui sama ada ubat yang bakal diambil bersesuaian atau tidak.

“Sebaik sahaja dana mencukupi, pihak hospital akan menempah ubat terbabit. Ia akan mengambil masa sebulan. Setakat inj perkembangan Baby Athif Alhamdulillah, cuma kadang kala ada penurunan dari segi bacaan oksigen. Pernafasannya semakin lama semakin lemah dan air liurnya mudah tersekat dan menyekat oksigen.

“Memang saya berharap agar dapat percepatkan pembelian ubat. Paling awal mungkin dalam awal bulan Julai. Doktor juga menyarankan agar Baby Athif dikuarantin sebulan sebelum dan sebulan selepas mendapatkan suntikan,” katanya.

Sementara itu, Nur Azizah berkata, sebagai ibu bapa, sudah tentu mereka berharap agar Baby Athif dapat sembuh dan sihat seperti mana anak-anak yang lain.

“Paling penting sekali kalau dapat cabut bantuan oksigen itu pun Alhamdulillah. Harap Baby Athif dapat bernafas dengan normal.

“Kalau tak pakai bantuan oksigen itu walau sekejap seperti hendak mandi, muka Baby Athif akan mula menjadi biru dan bacaan permafasannya juga menurun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI