fbpx

Kehalusan sinematik, garis hidup Buya Hamka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buya Hamka mula ditayangkan di beberapa pawagam terpilih seluruh negara bermula hari ini.

Menterjemah kisah kehidupan figura terhormat ke layar perak merupakan satu kerja yang ‘payah’ dan memerlukan penelitian yang cermat.

Rasanya, itulah dilema dihadapi sutradara prolifik Indonesia, Fajar Bustomi yang diberi ‘mandat’ mendokumentasikan kisah hidup penulis dan ulama terkenal Seberang, Haji Abd. Malik Karim Amrullah atau dikenali sebagai Hamka.

Filem Buya Hamka mula ditayangkan di beberapa pawagam terpilih negara bermula hari ini (15 Jun 2023).

ANTARA babak menarik dan memberi bekas dalam filem Buya Hamka.

Penulis telah meminjamkan sedikit masa menonton filem terbabit dan ternyata, sarat rasa berbelah-bahagi memilih kata-kata paling cermat sebagai ulasan.

Umum tahu, Hamka sungguh ikonik besarnya terhadap budaya, dakwah islamiah dan dunia penulisan di segenap pelusuk Nusantara.

Tidak mahu ‘menelaah’ lebih tentang kecemerlangan hidup ulama dan penulis luar biasa itu, namun titik fokal penulisan ini adalah tentang filem Buya Hamka yang dibarisi pelakon hebat Indonesia seperti Vino G. Bastian sebagai Hamka, Laudya Cynthia Bella (Sitti Raham) dan Donny Damara (Haji Rasul).

Tiga bahagian, mendalam

Pertama sekali, filem Buya Hamka akan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Volume 1, 2 dan 3. Bahagian selanjutnya difahamkan menemui audiens sekitar tahun hadapan. Jauh dan menuntut penantian agak lama.

Buya Hamka membawa penonton menyelami lebih mendalam sosok itu yang sangat dikagumi itu, seorang ysng memberi inspirasi luar biasa menerusi kuasa penanya.

Dalam filem, audiens diberi kesempatan mendalami kualiti atau sisi lain Hamka sebagai seorang manusia.

Dia suka bercanda menerusi keindahan kata-katanya, bahkan seorang lelaki yang mempunyai empati dan kasih sayang yang tiada bandingnya terhadap keluarga, terutama isterinya, Sitti Raham.

Dia juga menangis dan merintih sama seperti kita semua. Itu apa yang dicernakan pemain karakter terbabit, Vino G. Bastian.

Dari segi fizikal, dialog dan telo Minangkabau, semuanya selayaknya dipaparkan. Vino, sungguh tepat menjadi Hamka.

Buya Hamka terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Vol. 1, 2, dan 3.

Vino pelakon hebat

Seperti apa pernah diungkapkan Hamka, ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja’.

Barangkali itu pegangan yang tersemat di hati Vino sehingga berjaya menjiwa karakter.

Begitu juga kualiti yang dizahir Bella sebagai Sitti Raham sehingga mencerna sinergi luar biasa dengan Vino.

Dari segi teknikal seperti sinematografi dan kesan bunyi, Buya Hamka terkandung kualiti ‘papan atas’.

Secara peribadi, Buya Hamka juga jauh meninggalkan Anwar: The Untold Story andai mengambil kira kisah ‘orang penting’ yang difilemkan.

Cuma, jika ditanya adakah Buya Hamka akan terus diingati sehingga bahagian selanjutnya dilancarkan tahun mendatang? Sama-sama nantikan.

Buat penulis secara peribadi, bahagian pertama harus betul-betul memaku perhatian namun malangnya, hal itu sedikit tidak menjadi.

Kendatipun, Buya Hamka masih sebuah pengalaman sinematik yang indah bernurani mengenal lagi terperinci pujangga bernama Hamka.

Filem: Buya Hamka
Pengarah: Fajar Bustomi
Pelakon: Vino G. Bastian, Laudya Chyntia Bella, Donny Damara, Anjasmara, Reza Rahadian
Edaran: TGV Cinema
Tayangan: 15 Jun 2023
Bintang: 3/5

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI