PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memberi bayangan mungkin akan ‘bersara’ seketika daripada dunia badminton ekoran prestasinya yang merudum ketika ini.
Terbaharu, pemain berkenaan terus dibelenggu aksi hambar apabila sekali lagi tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, bekas juara Asia dan Seluruh England (All England) itu terpaksa akur dengan kekalahan straight-set 17-21, 13-21 kepada pemain India, Lakshya Sen.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Zii Jia tersingkir di pusingan awal dua kali berturut-turut selepas turut tewas di pusingan pertama ketika Terbuka Singapura minggu lalu.
“Saya rasa saya akan ‘bersara’ buat sementara waktu. Saya tidak tahu untuk tempoh berapa lama, mungkin sehingga saya kembali mendapatkan motivasi. Saya mahu berehat seketika,” katanya.
Situasi sukar yang dialami perseorangan lelaki No. 1 negara itu pastinya merunsingkan peminat-peminat badminton tanah air, lebih-lebih lagi dia sudah terkeluar dari kelompok 10 teratas dunia dengan menghuni ranking ke-11.
Penyingkiran Zii Jia juga menyaksikan tidak ada lagi wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki apabila seorang lagi pemain, Ng Tze Yong turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 7-21, 21-17, 13-21 kepada Shi Yuqi dari China kelmarin.
Untuk rekod, Zii Jia masih belum memenangi sebarang kejuaraan pada saingan musim ini dengan pencapaian terbaiknya adalah mara ke separuh akhir ketika beraksi di All England dan Terbuka Switzerland Mac lalu.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu sudah menyertai sembilan kejohanan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) pada musim ini dengan tujuh daripadanya berakhir di pusingan pertama dan kedua.