Saya tinggal di kawasan yang haiwan seperti anjing berlegar keluar masuk dari apartmen.
Suatu hari, saya perasan ada bekas atau kesan yang kelihatan seperti tapak kaki haiwan melekat pada permukaan sebelah tempat pemegang pintu kereta.
Saya tersentuh kesan tersebut kerana tidak perasan.
Jadi, saya mengesyaki ia tapak kaki anjing kerana anjing sering berlegar di kawasan tersebut walaupun saya tidak melihat dengan mata sendiri yang menyebabkan kesan tersebut.
Persoalan saya, perlukah saya sertu tangan saya atau tidak? Bagaimana dengan status setiap benda yang saya telah pegang? Mohon pencerahan. Terima kasih.
JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Islam telah mengkategorikan anjing dan apa-apa yang datang daripadanya sebagai najis mughallazah.
Najis mughallazah hendaklah disucikan melalui kaedah yang telah ditetapkan syarak.
Sabda Rasulullah SAW: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah”. (Riwayat Muslim, 279)
Namun begitu, dalam situasi atau keadaan-keadaan tertentu yang terdapat masyaqqah, misalnya najis sukar untuk dikawal atau sukar untuk dielakkan.
Ia dikategorikan sebagai umum al-balwa dan dihukumkan sebagai najis yang dimaafkan.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, penanya telah terpegang kawasan yang disyaki padanya ada kesan tapak kaki anjing.
Namun, penanya tidak pasti sama ada ia benar-benar kesan tapak kaki anjing atau sebaliknya.
Hukum najis tidaklah disabit jika berdasarkan sangkaan semata-mata berdasarkan kaedah:
“Hukum tidak terbina atas syak semata-mata.”
Dalam hal ini, sekiranya seseorang itu telah terpegang pada kawasan yang disyaki padanya kesan tapak kaki anjing maka tangannya tidak perlu disertu.
Walaupun begitu, penanya boleh mencuci tangan dengan enam kali basuhan air biasa dan satu basuhan daripada air tanah untuk keluar daripada syak dan menenangkan hati.
Manakala, di tempat-tempat lain yang telah dipegang tidak perlu disertu, memadai dibasuh sahaja.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.