DUNGUN – Sepasang suami isteri ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan cubaan mencuri dan memecah tabung Masjid Kuala Abang di sini pada minggu lalu.
Suspek lelaki berusia 26 tahun dan isterinya berumur 23 tahun tersebut disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 6 dan 8 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, imej disyaki kelibat kedua-dua suspek telah dikesan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperiksa ahli jawatankuasa masjid tersebut pada Jumaat lalu.
“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek lelaki disyaki mengunjungi masjid tersebut untuk memecah tabung pada pukul 10.14 pagi, 6 Jun dan 2 pagi, 8 Jun lalu, manakala suspek wanita pula dilihat membantu suaminya memecah tabung berkenaan namun usaha mereka gagal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 2 minit 4 saat yang memaparkan cubaan dua individu dipercayai suami isteri terbabit cuba memecah tabung Masjid Kuala Abang tular di media sosial.
Baharudin berkata, hasil ujian urin terhadap kedua-kedua suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis metamfetamin manakala isterinya pula negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 akta sama. – KOSMO! ONLINE