SHAH ALAM – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu dan LRA Salak Tinggi berkemungkinan akan dihenti tugas susulan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer (km) 276.1 Lebuh Raya Utara Selatan hari ini.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataanya di laman sosial Facebook rasminya berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kemalangan tersebut daripada PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) melibatkan lori muatan minyak sawit pukul 7.40 pagi tadi.
“Pihak PLUS memaklumkan muatan minyak sawit telah mengalir dan memasuki longkang di lebuh raya.
“Insiden tersebut berkemungkinan menyebabkan henti tugas LRA Sg. Labu dan LRA Salak Tinggi,” katanya.
LUAS menegaskan berdasarkan maklumat awal yang diperolehi menunjukkan bahan cemar akan memasuki Sungai Jerangkang seterusnya ke Sungai Batang Labu.
Ujarnya, jarak dari punca pencemaran ke LRA Sungai Labu dianggarkan 10.7 km manakala LRA Salak Tinggi pada jarak 15.68 km.
“LUAS dan agensi-agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera. Setakat ini tiada henti tugas loji dilaporkan,” jelasnya.
Sementara itu, kenyataan tersebut telah menarik pelbagai reaksi daripada netizen yang berharap tiada tiada henti tugas bagi kedua-dua loji berkenaan.
Seorang pengguna, Afad Denzel memberitahu, rakyat hampir mengalami tekanan perasaan sekiranya perkara henti tugas itu berlaku.
“Korang plsss…kami rakyat biasa dah nak sakit jiwa kalau korang tutup loji air lagi…Tolonglah jgn wat giler,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna lain, Osly Osman memberitahu jadual mengenai gangguan bekalan air boleh sudah diedarkan kepada rakyat.
“Jadual putus bekalan air untuk Disember 2020 hingga Jun 2021 dah boleh edarkan dah ye,” katanya. -K!ONLINE