JAKARTA – Ahli keluarga dan berpuluh-puluh mahasiswa Universiti Sumatera Utara (USU) menggesa polis agar segera merungkai misteri kematian seorang pelajar bernama Mahira Dinabila yang disifatkan sebagai sangat aneh, lapor laman berita TvOneNews.
Mereka berkumpul bagi menuntut kebenaran atas kematian Mahira di pintu gerbang utama Ibu Pejabat Polis Sumatera Utara, Jumaat lalu.
Mayat Mahira ditemui di rumah ibu bapa angkatnya di Kompleks Rivera daerah Medan Amplas dalam keadaan menyedihkan pada 3 Mei lalu.
Orang ramai mendakwa kematian Mahira adalah sangat ganjil kerana mayat pelajar itu ditemui sudah membusuk dalam keadaan matanya hilang dan kepalanya sudah menjadi tengkorak, selain mempunyai kesan terbakar.
Mahira didakwa membunuh diri berdasarkan surat yang ditinggalkan di lokasi kejadian. Bagaimanapun, timbul dakwaan bahawa dia dibunuh oleh seseorang yang rapat dengannya kerana rumah itu dikunci dari luar.
Disyaki meninggal dalam keadaan aneh, polis Patumbak menggali semula kubur Mahira untuk proses bedah siasat supaya punca sebenar kematian pelajar itu didedahkan.
“Rakan kami, Mahira Dinabila ditemui keluarganya pada 3 Mei lalu. Namun sehingga kini, kes itu masih menjadi misteri dan punca sebenar belum didedahkan,” kata penyelaras demonstrasi, Dimas Aditya.
Dalam pada itu, ibu Mahira yang bernama Inur mendakwa pihak polis tidak mengendalikan kes itu secara profesional kerana keputusan bedah siasat mangsa tidak dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.
“Namun, kes itu sudah 40 hari berlalu. Keputusan bedah siasat masih belum keluar. Di mana keadilannya, kami minta polis beri kami keadilan,” kata Inur. – Agensi