fbpx

Dewan Rakyat: Kerajaan bertegas pelihara kedaulatan Sabah daripada tuntutan Sulu – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinan beliau akan terus berjuang bagi melindungi, memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia dalam isu tuntutan Sulu.

Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah memulakan siasatan terhadap penuntut Sulu, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain di bawah seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

“Malaysia akan terus memastikan naratif yang sahih disebarkan kepada semua orang termasuk komuniti antarabangsa melalui laman sesawang rasmi kerajaan dan platform tertentu.

“Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan ini selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Kita akan terus mara ke hadapan dan berjuang habis-habisan, demi melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa. Saya menyeru rakyat Malaysia sekalian berganding bahu dalam usaha kerajaan Madani bagi menamatkan’ once and for all’ tuntutan yang sama sekali tidak berasas,” jelas beliau.

Perdana Menteri berkata demikian pada sesi penerangan status terkini tuntutan dari lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk warga Malaysia yang bersekongkol dengan penuntut Sulu.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan.

“Namun begitu, kerajaan Malaysia ingin memberi jaminan bahawa apa-apa tindakan yang diambil adalah berasaskan undang-undang dan tiada sebarang penindasan terhadap mana-mana pihak,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini tiada bukti pembabitan dan campur tangan Kerajaan Filipina dalam isu tuntutan Sulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI