TEMERLOH – Seorang guru yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta jenis Perodua Viva dipandunya berlanggar dengan sebuah lori balak di Kilometer 2 Jalan Jerantut-Temerloh di sini hari ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa, R. Ganasan,44, yang tinggal di Mentakab dalam perjalanan ke sekolah di Jerantut yang terletak kira-kira 60 kilometer dari rumahnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Mentakab ke Jerantut.
“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai lori telah keluar dari Simpang Taman Sri Semantan dan melanggar kereta dipandu mangsa yang sedang bergerak lurus.
“Akibat pelanggaran menyebabkan pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Ujarnya, siasatan masih giat diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE