SHAH ALAM – Kerajaan negeri mendedahkan kira-kira 427 hektar tanah melibatkan sembilan daerah di Selangor telah diceroboh untuk pelbagai aktiviti terutama pertanian.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan rekod pencerobohan tertinggi dicatatkan di Kuala Langat sebanyak 142.8 hektar diikuti Klang (86.1) ; Petaling dan Kuala Selangor (40.4); Hulu Langat (34); Gombak (32.3); Sepang (29.1); Hulu Selangor (20.2) dan Sabak Bernam (1.41).
Katanya, penceroboh akan melakukan aktiviti pertanian sebelum bertukar kepada pembinaan kawasan perumahan.
“Malah, ada juga sebahagian pencerobohan dilakukan dengan aktiviti peletakan penempatan sampah haram dan stor di kawasan tanah yang diceroboh.
“Kerajaan negeri telah mengambil tindakan dengan menyerahkan notis 425 Kanun Tanah Negara 1965 Pentadbir Tanah Berkaitan untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar berhubung keluasan tanah kerajaan yang telah dicerobohi dan aktiviti yang dilakukan penceroboh.
Amirudin yang merupakan ADUN Sungai Tua memberitahu, bagi yang melakukan aktiviti perumahan telah diberikan notis agar mereka keluar daripada kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan negeri telah melakukan proses pemutihan rumah diduduki tanpa kebenaran sejak 2008 sehingga 2014.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri telah memberi pemilikan tanah kosong iaitu dengan meletakkan pada harga pasaran selepas tahun 2014.
“Kita sedar ini bukan syarat untuk bina rumah tanpa kebenaran tetapi sebagai salah satu usaha pemutihan pencerobohan tanah yang dilakukan kerajaan negeri sejak 2008,” jelasnya. – K!ONLINE