KUALA LUMPUR – Pengarah sensasi Syamsul Yusof tiada secebis dendam terhadap bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana walaupun mereka sudah disahkan bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Menurut Syamsul, 39, hubungan baik akan diteruskan dengan Puteri Sarah demi masa depan dua anak mereka iaitu Syaikhul dan Sumayyah.
“Alhamdulillah pengakhiran baik buat kami. Kami bercerai talak satu kali kedua.
“Biarpun berpisah, kami tidak akan berdendam lagi selepas ini,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.
Sebelum perceraian berlaku pada hari ini, Syamsul memberitahu dia dan Puteri Sarah telah mencapai kata sepakat dalam banyak perkara termasuk nafkah anak-anak.
“Kami berbincang sebelum ini demi masa depan dan kebaikan anak-anak. Keperluan dan perbelanjaan anak-anak ditanggung oleh saya.
“Persefahaman ini dicapai kerana tidak mahu memberi kesan terhadap Syaikhul dan Sumayyah.
“Saya akan kekal sebagai ayah dan Puteri Sarah sebagai ibu kerana enggan memberi kesan buruk kepada masa depan mereka.
“Kalau berpisah secara tidak baik pun, tidak memberi apa-apa,” katanya lagi.
Katanya, perbincangan yang dilakukan bersama Puteri Sarah sebelum ini tanpa melibatkan sebarang perkongsian dalam media sosial.
“Kali ini tidak libat media sosial. Perinciannya hanya saya dan Sarah sahaja yang tahu.
“Peguam juga menasihati lebih baik kami sendiri berbincang berdua untuk menyelesaikan kemahuan masing-masing,” jelasnya.
Setelah enam bulan turun naik mahkamah, kemelut rumah tangga Syamsul dan Sarah akhirnya menemui solusi terbaik selepas mereka sah bercerai talak satu berjumlah dua.
Hari ini, mahkamah memutuskan Syamsul dan Puteri Sarah disahkan bercerai selepas pengarah tersebut melafazkan cerai talak satu berjumlah dua terhadap isterinya.
Hakim juga mengesahkan dua lafaz cerai yang difailkan Puteri Sarah sebelum ini.
Terdahulu, hakim Syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang sudah dibuat sebanyak dua kali oleh Syamsul.
Walau bagaimanapun, peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mengetahui dapatan laporan JKP berkenaan memandangkan ia dibuat secara berasingan.
Sebelum ini, pada 25 Mei lalu, Jawatankuasa Pendamai (JKP) memaklumkan ikatan perkahwinan Sarah dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.
Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya pada Januari tahun ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya sejak empat tahun lalu.
Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3. – KOSMO! ONLINE