ALOR SETAR – Polis masih menunggu hasil siasatan daripada bomba berhubung kejadian tiga beranak melecur dipercayai akibat letupan tong gas oksigen di dalam sebuah kereta di Taman Industri Ringan Sri Mergong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan sekiranya pihak bomba mengesahkan terdapat unsur khianat dalam kes tersebut.
Begitu pun katanya, setakat ini keterangan beberapa pihak telah diambil bagi mendapatkan maklumat awal tentang kejadian.
“Kalau siasatan bomba itu nanti mengesahkan wujud unsur khianat, kami akan buka kertas siasatan. Setakat ini kami masih menanti siasatan dijalankan bomba dan kami sudah ambil kenyataan pihak tertentu untuk mendapatkan maklumat awal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Dataran Kawad IPK Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata, premis yang menjadi lokasi mangsa mengisi gas tersebut sememangnya berdaftar dan menjalankan perniagaan sah.
“Mengenai keadaan mangsa pula, saya difahamkan kanak-kanak terbabit bersama bapanya kini berada dalam keadaan kritikal dan masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE