KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah di seluruh negara minggu hadapan bagi membincangkan tentang usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia merupakan usaha pihak kerajaan bagi menangani isu kemiskinan di negara ini khususnya di luar bandar.
“Antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu nanti adalah menoktahkan kemiskinan tegar, ia akan dibincangkan dan bagaimana peringkat daerah boleh melaksanakannya,” katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang bertanyakan tentang program baharu yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar. – KOSMO! ONLINE.