fbpx

Geng Aji Lebai aktif curi kabel tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fisol (dua dari kanan) melihat sebuah kenderaan yang dipenuhi kabel yang dicuri kumpulan penjenayah di pekarangan IPK Kedah, Alor Setar hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Polis membongkar kegiatan tiga geng curi kabel bertaraf ‘profesional’ yang menggunakan modus operandi hampir sama iaitu dengan menyamar sebagai kontraktor ketika melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, salah satu modus operandi kumpulan tersebut adalah memakai jaket keselamatan yang sering digunakan pekerja kontraktor bagi menampakkan seolah-olah mereka melakukan penyelenggaraan kabel bawah tanah.

Malah katanya, ahli sindiket itu juga didapati turut mengawal lalu lintas ketika melakukan kegiatan haram tersebut selain turut menyewa lori pengangkut untuk membawa kabel dicuri terus kepada pembeli.

“Tiga kumpulan yang berjaya ditumpaskan baru-baru ini dikenali sebagai Geng Aji Lebai di Alor Setar, Geng Zali Black di Kubang Pasu dan Geng Ogy di Baling dan mereka ini tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, namun menggunakan modus operandi hampir sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 15 suspek daripada tiga kumpulan itu kini dalam tempoh reman dan polis masih memburu enam lagi yang masih bebas.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 54 tahun dan salah seorang daripadanya merupakan warga China. Hampir kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Katanya, dengan tertumpasnya tiga kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes kecurian kabel di Kedah melibatkan kerugian kira-kira RM150,000 kepada pihak Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Mengulas lanjut Fisol berkata, seorang anggota polis turut patah kaki kerana dilanggar sebuah kereta dinaiki kumpulan Geng Aji Lebai di kawasan berhampiran Stadium Peremba, dekat sini pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI