KUALA LUMPUR – Selepas enam bulan naik turun mahkamah, pelakon Puteri Sarah Liyana bersyukur proses perceraiannya hari ini dengan bekas suami, Syamsul Yusof berakhir dengan baik.
Menurut pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 38, kata sepakat untuk bercerai itu dilakukan demi masa depan dua anak mereka, Syaikhul dan Sumayyah.
“Alhamdulillah semuanya selesai. Kami sudah berjumpa semalam berbincang dan capai persetujuan dalam banyak perkara.
“Kalau nak cakap tentang perasaan, saya tak tahu nak gambarkan macam mana cuma sekarang ini rasa lega semuanya sudah berakhir dengan baik.
“Harapan saya cuma satu, ialah tiada persengketaan lagi dan berbaik seperti yang kami berjanji sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Mengenai hak penjagaan anak, aktres tersebut memberitahu, dia tidak meletakkan sebarang syarat untuk Syamsul bertemu dengan dua anak mereka walaupun hak penjagaan menjadi miliknya.
“Saya tidak letakkan had untuk Syamsul bertemu anak-anak dan dia boleh datang bila-bila masa sahaja.
“Tiada hari tertentu pun saya tetapkan,” ujarnya yang kini menjalani tempoh idah selama tiga bulan bermula hari ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Andai Itu Takdirnya juga mewajibkan dua anaknya untuk hadir sama dalam mana-mana majlis yang melibatkan kedua-dua belah keluarga.
“Bukan patut tetapi mereka wajib untuk pergi ke mana-mana majis kedua-dua belah keluarga.
“Kami berpisah juga demi kebaikan anak-anak, jadi semuanya akan dilakukan untuk kepentingan mereka,” ujaranya lagi.
Ditanya mengenai sama ada sudah menggugurkan saman yang difailkan terhadap isteri kedua Syamsul, Ira Kazar, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan hal tersebut.
“Saya tak boleh dedahkan buat masa ini,” katanya lagi.
Hari ini, mahkamah memutuskan Syamsul dan Puteri Sarah disahkan bercerai selepas pengarah tersebut melafazkan cerai talak satu berjumlah dua terhadap isterinya.
Hakim juga mengesahkan dua lafaz cerai yang difailkan Puteri Sarah sebelum ini.
Terdahulu, hakim Syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang sudah dibuat sebanyak dua kali oleh Syamsul.
Walau bagaimanapun, peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mengetahui dapatan laporan JKP berkenaan memandangkan ia dibuat secara berasingan.
Sebelum ini, pada 25 Mei lalu, Jawatankuasa Pendamai (JKP) memaklumkan ikatan perkahwinan Sarah dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.
Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya pada Januari tahun ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya sejak empat tahun lalu.
Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3. – KOSMO! ONLINE