fbpx

Kemelut sampah haram ‘pandu lalu’ 20,000 penduduk selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Juwairiya (dua kiri) dan Noor Halim (tiga kiri) menunjukkan lokasi pembuangan sampah baharu itu di Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Isu sampah haram yang membelenggu 20,000 penduduk lima buah kampung di sekitar Kampung Bukit Kuching di sini, sejak lima tahun lalu selesai dengan pembinaan tapak pembuangan baharu hari ini.

Kawasan di Jalan Sasaran itu sebelum ini dijadikan lokasi membuang sampah secara ‘pandu lalu’ sehingga mengakibatkan jalan utama berkenaan bukan saja busuk akibat timbunan sampah malah berlaku mendapan tanah dan kemalangan jalan raya.

Ketua Kampung Bukit Kuching, Noor Halim Miswan berkata, isu pembuangan sampah itu turut dihadapi penduduk Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cherakah, Kampung Bukit Kuching Tengah dan Kampung Parit Mahang sejak sekian lama.

Katanya, masalah berlarutan akibat kedegilan individu yang sengaja membuang sampah pukal di tepi jalan itu biarpun telah disediakan beberapa tong sampah oleh pihak berkaitan.

Tinjauan Kosmo! mendapati lokasi sampah haram kira-kira 10 meter dari tempat pembuangan baharu itu sudah dibersihkan dan diratakan bagi pembinaan projek tebatan banjir.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, semakan mendapati tapak baharu itu merupakan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan telah mendapat kebenaran penambahbaikan bagi pembuangan sampah.

“Hasil perbincangan lanjut bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah bersetuju mewujudkan tapak yang mampu memuatkan tiga tan metrik sampah itu dan projek itu hasil sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KDEBWM dengan kos berjumlah RM16,000,” katanya.

Jelas beliau, projek itu sepatutnya siap dalam tempoh sebulan pada Februari lalu namun mengalami kelewatan berikutan kerja tebatan banjir dijalankan JPS ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI