KUALA LUMPUR – Skim bantuan kewangan untuk perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah iaitu Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) tidak diteruskan oleh kerajaan kerana kurang mendapat sambutan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PTV yang dikemukakan dalam Bajet 2022 hanya ditebus kurang satu peratus daripada 4.9 juta penerima yang layak.
Jelas beliau, jumlah tersebut terlalu sedikit berbanding peruntukan RM354 juta yang disediakan kerajaan untuk melaksanakan PTV bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.
“Bukan kita meninggalkan terus PTV ini, tetapi apabila Bank Negara Malaysia buat kajian daripada 8.7 juta orang yang sepatutnya menerima baucer ini, yang diuruskan 4.9 juta penerima dan yang ditebus hanya 0.01 peratus.
“Hanya 490 orang yang mendapat faedah daripada 354 juta insurans. Terlalu sedikit yang dilindungi oleh PTV ini, oleh itu kerajaan perkenalkan mySalam,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu adakah kerajaan berhasrat akan memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan memperuntukkan baucar untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) supaya mereka dapat menyertai pelan perlindungan seperti Perlindungan Tenang pada tahun lepas. – KOSMO! ONLINE.