fbpx

Mahkamah: Peniaga rasuah penguat kuasa PBT RM600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YET KEONG mengaku bersalah atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM600 kepada seorang penguat kuasa PBT November tahun lalu. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM600 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), November tahun lalu.

Tertuduh, Low Yet Keong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan keputusan hukuman terhadap tertuduh atas permintaan peguamnya, Shaik Saleem S.M. Daud bagi pelaksanaan rundingan akuan mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yet Keong yang merupakan seorang peniaga ikan kering dan pembekal rempah ratus itu didakwa telah memberi suapan RM600 kepada Pembantu Penguatkuasa MBIP di Pasar Mini Sri Skudai, Taman Sri Skudai pada pukul 12.50 tengah hari, 1 November lalu.

Suapan tersebut diberi sebagai dorongan agar tidak diambil tindakan penguatkuasaan ke atas premis tersebut yang telah melanggar syarat lesen perniagaan dikeluarkan MBIP iaitu menjual barang basah.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000, namun peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas beberapa faktor.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diberi jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, beserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 31 Julai depan untuk menetapkan hukuman terhadap tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI