fbpx

6,000 orang awam dibunuh di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan antijunta bertempur dengan polis di Yangon pada 16 Mac 2021. - AFP

OSLO, NORWAY – Lebih 6,000 orang awam terbunuh di Myanmar dalam tempoh 20 bulan pertama selepas insiden rampasan kuasa tentera terhadap kerajaan awam berlaku pada Februari 2021, demikian menurut laporan yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Oslo (PRIO), kelmarin.

“Data kami menunjukkan bahawa jumlah korban konflik itu adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan sebelum ini. 

“Ketika junta jelas merupakan pembunuh utamanya, pasukan antijunta turut menyebabkan sejumlah besar kematian penduduk di tangan mereka,” kata pengarang kajian tersebut, Stein Tonnesson.

Menurut laporan oleh institusi penyelidikan bebas itu, seramai 6,337 orang awam terbunuh atas sebab-sebab politik antara 1 Februari 2021 dan 30 September 2022 manakala sehingga 2,614 lagi mengalami kecederaan.

Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada data yang telah diterbitkan sebelum ini termasuk dari organisasi antarabangsa.

Tambah laporan berkenaan, hampir separuh daripada kematian iaitu seramai 3,003 orang dikaitkan dengan rejim tentera, polis dan militia manakala sehingga 2,152 lagi berkaitan dengan kumpulan pembangkang bersenjata.

Sementara itu, seramai 12 orang dikaitkan dengan orang awam lain yang tidak bergabung sama ada dengan rejim atau penentang selain 1,170 lagi individu yang identitinya tidak dapat ditentukan.

“Ini adalah jumlah lebih besar daripada yang biasa disebut dalam media. Namun, ia hanya anggaran berdasarkan pembunuhan seperti dilaporkan dan dikumpulkan daripada laporan media yang boleh dipercayai.

“Jumlah sebenar pasti lebih tinggi kerana banyak pembunuhan berkemungkinan tidak dilaporkan,” kata laporan tersebut. 

Dalam kudeta pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar membatalkan keputusan pilihan raya yang dimenangi oleh parti pimpinan Aung San Suu Kyi dengan mendakwa ia sebagai penipuan besar-besaran sebelum bertindak menggulingkan kerajaan awam.

Sejak itu, junta tentera di bawah pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing telah melakukan penindasan besar-besaran terhadap mana-mana pihak yang membangkang dengan menangkap lebih 23,000 orang, demikian menurut sebuah badan pemerhati tempatan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI