MIAMI, Florida – Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku tidak bersalah di Mahkamah Persekutuan Miami, Florida, terhadap 37 pertuduhan salah laku menyimpan dokumen sulit kerajaan, lapor agensi berita UPI semalam.
Trump menyerah diri di mahkamah dan dokumen penyerahannya diproses sebelum beliau berdepan pendakwa raya khas, Jack Smith dan Majistret Jonathan Goodman dalam perbicaraan tersebut.
Peguam Todd Blanche membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan bagi pihak bekas presiden itu.
Bagaimanapun, Trump yang didakwa bersama pembantunya, Walter Nauta dibebaskan selepas perbicaraan tersebut berlangsung selama 45 minit.
Trump juga kekal bebas untuk melakukan perjalanan dan tidak diarahkan untuk menyerahkan pasportnya.
Beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalah dalam menghadapi 37 pertuduhan dengan menghalang keadilan dan enggan memulangkan dokumen sulit berkaitan keselamatan negara.
Dalam pada itu, Nauta, 40, dituduh memainkan peranan penting dalam membantu Trump menyimpan dokumen sulit itu manakala veteran Tentera Laut AS tersebut menghadapi enam pertuduhan dalam kes berkenaan. – Agensi