BATU PAHAT – Gara-gara mengedar peranti perubatan tidak berdaftar, sebuah syarikat tidak berlesen yang beroperasi di daerah ini diserbu oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Kawasan Perindustrian Wawasan, Tanjung Laboh, di sini hari ini.
Ketua Unit Risikan dan Operasi MDA, Dery Akmal Abdul Rahman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama enam bulan oleh pihaknya selain menerima aduan daripada orang ramai.
Katanya, antara peranti perubatan yang dirampas adalah kit ujian kehamilan, lancet darah, topeng muka perubatan dan kit peti kecemasan yang akan dijual di farmasi serta klinik di seluruh negara.
“Sepanjang daripada risikan yang kita lakukan, didapati ianya dijual di farmasi dan juga klinik-klinik seluruh negara, di mana selepas ini kita akan membuat pemantauan di farmasi serta klinik berkenaan,” katanya kepada media selepas serbuan berkenaan hari ini.
Menurut Dery lagi, pihak MDA juga telah menerima aduan berkenaan kesalahan yang dilakukan oleh syarikat itu pada tahun 2017 dan 2022, di mana surat amaran juga telah dikeluarkan pada tahun 2018 dan 2022.
“Kesalahan yang dilakukan oleh syarikat ini adalah di bawah Seksyen 5(1) dan Seksyen 15 Akta Peranti Perubatan (Akta 737) kerana mengimport atau meletakkan peranti perubatan di dalam pasaran sebelum didaftarkan.
“Peranti perubatan yang tidak berdaftar ini tidak dapat dipastikan tahap risiko serta keselamatannya dan dikhuatiri memberi kesan buruk kepada pengguna,” katanya.-KOSMO! ONLINE