PETALING JAYA- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri sehingga pukul 8 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Cuaca buruk dijangka berlaku di utara Semenanjung melibatkan negeri Kedah di Padang Terap, Sik dan Baling, Perak di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Muallim.
“Negeri pantai timur Kelantan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin.
“Selangor di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, Johor di Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Sarawak di Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Limbang manakala Sabah di Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE