MENJAWAT jawatan sebagai jururawat di salah sebuah klinik kesihatan swasta usai tamat pengajian merupakan antara impian wanita kelahiran Melaka berumur 30 tahun itu.
Pun begitu, rezekinya menabur bakti kepada masyarakat dalam bidang mulia tersebut tidak bertahan lama apabila disahkan hamil anak sulung hasil pernikahan bersama suami sebelum itu.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia terpaksa meletak jawatan kerana mahu fokus menjaga anak pertamanya setelah mendapat izin daripada suami, Hisyam Mohd. Jamaludin.
Sepanjang bergelar suri rumah sepenuh masa, Dya Che Rapi mula memberanikan diri untuk berjinak-jinak dalam perniagaan secara online dengan mendaftarkan diri menjadi dropship.
“Ada sebab utama kenapa saya memberanikan diri untuk terlibat dengan perniagaan. Pertamanya, untuk membantu suami menambah pendapatan sampingan sekali gus melengkapkan keperluan anak.
“Pernah ada sekali saya terpaksa menggadaikan barang kemas peribadi hanya untuk membeli barangan keperluan anak seperti susu dan lampin pakai buang,” luahnya ketika ditemui Aura baru-baru ini.
Ceritanya, pelbagai perniagaan dan label produk kecantikan dan kesihatan pernah dijualnya sejak melibatkan diri dalam bidang tersebut bermula 2015 lalu.
Bermula hanya sebagai dropship hinggalah dinaikkan kepada pengedar dan seterusnya stokis, Dya senantiasa tabah dan tidak pernah mengenal erti jemu serta putus asa dalam usaha membantu keluarga.
“Lagipun dalam keluarga saya merupakan anak yang tidak mempunyai kerjaya profesional seperti adik-beradik lain yang menjawat jawatan seperti akauntan dan peguam.
“Saya juga tidak sempat membahagiakan dan membalas jasa ibu bapa seperti adik beradik lain lakukan kerana terpaksa memberi fokus kepada suami dan anak-anak pada usia muda,” ujarnya.
Perjalanan dan minat wanita itu dalam bidang keusahawanan tidak pernah luntur dan terhenti apatah lagi menjadikan perniagaan sebagai sumber rezeki utama hingga kini.
Bercerita lanjut, ekoran daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak Mac lalu, Dya mendapat satu idea untuk melancarkan produk khas yang diformulasi daripada jeli Korea dan mempunyai kandungan 1000 miligram vitamin C yang baik untuk kesihatan.
“Jeli sememangnya merupakan bahan yang sudah lama terkenal dan digunakan masyarakat di Korea untuk kekal sihat secara dalaman dan luaran.
“Saya mendapat inspirasi untuk menghasilkan produk keluaran sulung berjenama Ruby Rich bagi membantu orang ramai meningkatkan kesihatan sedia ada sekali gus menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.
“Alhamdulillah berkat kesabaran dan pengalaman lebih daripada lima tahun dalam bidang perniagaan, akhirnya impian saya untuk mempunyai produk dan empayar perniagaan sendiri dimakbulkan Allah,” tuturnya yang mengakui bukan mudah untuk sampai ke tahap sekarang.
Jelas Dya lagi, Ruby Rich yang dikeluarkan Mei lalu cuma mengambil masa selama dua minggu untuk dibangunkan dan melalui semua proses sebelum menemui pengguna di pasaran.
Tambahnya, produk yang menggunakan bahan-bahan berkualiti dan diimport serta diproses di kilang yang mendapat pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP) itu amat sesuai digunakan semua peringkat lapisan umur dengan harga tawaran serendah RM79.00 satu set sempena Kempen Prihatin Covid-19 yang sedang dijalankan sekarang.
“Untuk permulaan, produk ini tampil dengan dua set utama iaitu Ruby Bliss dan Ruby Bright dalam satu set yang mana kedua-duanya dihasilkan daripada bahan-bahan berkualiti tinggi serta premium.
“Alhamdulillah walaupun baharu lima bulan menemui pengguna, Ruby Rich telah terjual lebih daripada 5,000 set dan syarikat mengunjurkan jualan lebih dua ke tiga kali ganda menjelang tahun hadapan.
“Saya juga ingin orang ramai menjadi seperti saya dan mempunyai legasi perniagaan mereka sendiri satu hari nanti,” katanya yang kini sudah melahirkan lebih 2,000 pengedar dan stokis di bawah syarikat miliknya, RCR Empire. – K! ONLINE