ANDAI sebelum ini kita mendengar berita kanak-kanak bawah umur di luar negara ‘ditangkap’ memandu kereta, beberapa tahun kebelakangan ini kes membabitkan budak bawah umur makin kerap berlaku di negara ini.
Sememangnya kuasa viral membongkar kejadian yang hakikatnya bukan isu terpencil, sebaliknya pernah terjadi tetapi mungkin kurang disedari kerana tidak dikongsi di media sosial.
Kejadian di Langkawi pada 10 Mei lalu membabitkan pemandu kanak-kanak berumur enam tahun umpama wake-up call kepada semua pihak terutama ibu bapa supaya tidak memandang ringan isu ini.
Bayangkan anak sekecil itu mampu memandu sejauh 2.5 kilometer di jalan raya dengan membawa bersama adiknya yang berusia tiga tahun.
Ketika itu, berlegar dalam fikiran bagaimana kanak-kanak sementahnya mengetahui fungsi setiap peralatan dalam kenderaan, apatah lagi mampu menggerakkan kenderaan tersebut.
Bukan mahu menuduh ibu bapa atau orang terdekat yang barangkali secara tidak sedar memperkenalkan si kecil terhadap ‘ilmu’ memandu.
Terdapat pula teori lain bahawa anak zaman siber berotak geliga kerana mampu belajar hanya dengan mengikuti langkah di YouTube atau menerusi alat stimulasi.
Apa pun, tidak kira alasan, didikan dan pengawasan terhadap si kecil itu penting supaya tiada penyesalan andai sikap tidak mengapa mengorbankan insan tidak berdosa.
Tidak ingatkah kepada kemalangan maut membabit seorang lelaki dan rakannya cedera parah akibat dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu remaja berusia 16 tahun di Kedah sekitar Mei tahun lalu.
Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.
Susulan kejadian itu, bapanya turut disaman pada 12 Mei tahun sama iaitu beberapa hari selepas kemalangan kerana membenarkan pemandu tanpa lesen memandu kenderaan terbabit.
Lihat saja kes terbaru pada 11 Jun lalu, isu sama berulang apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta milik bapanya di Jalan Banting-Pandamaran di Selangor.
Pegawai Kaunselor Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, dorongan ibu bapa terhadap perkara yang tidak sepatutnya pada usia kecil mampu menebalkan semangat keakuan dalam diri kanak-kanak tersebut.
Katanya, andai tidak dikekang boleh mencetuskan sikap ingin mencuba melakukan perkara berbahaya lain tanpa memikirkan impak negatif yang boleh membawa penyesalan di kemudian hari.
“Apabila kita melakukan suatu pendekatan mendidik yang menyalahi norma sosial sedari anak kecil, maka impak negatif dari segi pemikiran adalah mereka tidak berasakan sebarang kesalahan terhadap tindakan dibuat.
“Andai ibu bapa sendiri beri ‘lampu hijau’, mana mungkin anak itu dapat terima teguran luar. Ini memberi kesan psikologi kepada pemikiran dan perasaan hingga boleh buatkan anak itu terburu-buru mengejar keseronokan kerana ingin tampak hebat berbanding rakan sebaya.
“Sepatutnya jati diri anak-anak dikuatkan dengan elemen positif, bukannya dorongan dalam bentuk tidak sepatutnya yang boleh disalah tafsir. Acuan didikan dari kecil kena tepat,” katanya.